Jaya Grocer buka cawangan ke-49 di Plaza Shah Alam

Posted On: 15 January 2024

SHAH ALAM: Jaya Grocer, jenama pasar raya premium utama negara hari ini melancarkan pembukaan cawangannya yang ke-49 di Plaza Shah Alam, di sini.

Ketua Pegawai Eksekutif Jaya Grocer, Adelene Foo berkata pembukaan cawangan baharu itu juga adalah yang ketiga di Shah Alam selepas cawangan di Plaza Jelutong dan Ardence Labs.

Beliau berkata pelancaran itu adalah penghargaan kepada pelanggan di Shah Alam yang telah memberikan sokongan padu terhadap jenama tempatan tersebut.

Menurutnya, cawangan pertama di Shah Alam iaitu di Plaza Jelutong dibuka pada 29 Sept 2012, dan sejak itu ia pantas membina reputasi dalam menawarkan produk berkualiti tinggi dan perkhidmatan pelanggan yang cemerlang.

"Dengan tiga cawangan strategik kami di Shah Alam, pelanggan kini dapat menikmati pengalaman membeli-belah yang lebih mudah dan selesa bersama kami.

"Dengan permulaan tahun baharu yang positif ini, rancangan memperluaskan rangkaian Jaya Grocer berjalan lancar, dan berharap agar tahun 2024 membawa kejayaan lebih gemilang sejajar dengan unjuran pertumbuhan ekonomi lebih tinggi oleh kebanyakan firma penyelidikan," katanya dalam satu kenyataan.

Foo berkata dengan ketiga-tiga cawangan yang terletak strategik di bandar raya itu, pelanggan di Shah Alam dapat menikmati akses lebih besar kepada rangkaian produk premium pasar raya itu, sekali gus mengukuhkan komitmen mereka untuk berkhidmat kepada masyarakat dengan lebih cekap.

Katanya lagi, bagi menghargai pelanggan di Shah Alam, Jaya Grocer menawarkan promosi istimewa mulai 13 hingga 21 Jan ini untuk pelbagai barangan keperluan seperti sayur-sayuran, ayam, daging, serta tawaran menarik untuk produk import dan makanan kucing. – Bernama